Azahar Hassan sertai Parti Wawasan Negara selepas umum keluar Bersatu

AHLI Dewan Negara, Senator Azahar Hassan hari ini mengesahkan menyertai Parti Wawasan Negara sehari selepas mengumumkan peletakan semua jawatan serta keluar daripada Bersatu semalam.

Bekas Setiausaha Bersatu Perlis itu berkata, permohonan beliau untuk menyertai parti yang diketuai oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin itu sudah diterima.

“Saya mengambil keputusan menyertai Parti Wawasan Negara, iaitu sebuah parti pelbagai kaum yang mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik,” katanya di Kangar hari ini.

Mengulas mengenai keputusannya sebelum ini, Azahar berkata, tindakan keluar Bersatu dibuat selepas melalui pertimbangan panjang, penelitian sewajarnya serta muhasabah mendalam terhadap perkembangan politik semasa.

“Saya percaya keputusan ini adalah berdasarkan prinsip, pendirian dan pertimbangan peribadi demi meneruskan hala tuju perjuangan yang saya yakini.

“Keputusan ini juga dibuat dengan penuh rasa hormat terhadap parti serta seluruh rakan perjuangan Bersatu yang bersama-sama melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh pembabitan saya,” katanya.

Sementara itu, Azahar mendedahkan pergolakan dalaman serta tindakan memecat beberapa pemimpin Bersatu sebelum ini menjadi antara punca akar umbi mula hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti berkenaan.

“Disebabkan itu, ramai yang mula mengambil keputusan keluar parti kerana sudah hilang keyakinan, khususnya akar umbi yang cukup kecewa dengan keadaan itu,” katanya.

Media semalam melaporkan, Azahar mengisytiharkan keluar Bersatu dan melepaskan semua jawatannya di dalam parti berkuat kuasa serta-merta, termasuk kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Kangar.

Bagaimanapun, tugasnya sebagai Ahli Dewan Negara akan diteruskan seperti biasa demi menggalas tanggungjawab kepada rakyat di Perlis.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img