SEORANG pemilik syarikat kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender kerajaan.
Mohd Safri Ibrahim, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu borang sebut harga dan penyata akaun bank bagi mendapatkan kerja tender kerajaan bagi syarikatnya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Muar antara 27 Ogos 2019 hingga 9 Februari 2021.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Hafiz A Bakar.
Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah jaminan berjumlah RM6,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Bagaimanapun Ahmad Hafiz dalam rayuannya memohon jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya tidak lagi bekerja selain perlu menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah dan ibu yang uzur.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhannya berjumlah RM24,000 dan menetapkan 15 Mei depan sebagai sebutan semula kes.


