Laluan baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao tingkat ekonomi sempadan

DATUK Seri Anwar Ibrahim yakin pembukaan laluan baharu menghubungkan Bukit Kayu Hitam dan Sadao mampu meningkatkan potensi ekonomi antara Malaysia-Thailand terutamanya bagi wilayah sempadan kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, pembukaan laluan berkenaan dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang dialami di kawasan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao sebelum ini.

DATUK Seri Anwar Ibrahim dan Anutin Charnvirakul di hadapan jalan baharu menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Malaysia dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand di Sempadan Malaysia-Thailand hari ini. GAMBAR: Facebook Polis Kedah

Katanya, laluan baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao bakal mempercepatkan perjalanan lori kontena membawa pelbagai barangan dan membolehkan pergerakan pelancong antara dua negara berjalan lebih lancar.

“Hari ini, satu lagi detik bersejarah khususnya bagi kawasan utara Malaysia dan selatan Thailand melalui projek usaha sama ini yang akan menggalakkan pembangunan ekonomi kedua-dua wilayah.

“Kita telah melangkaui hubungan diplomatik biasa apabila menunjukkan kesungguhan untuk mewujudkan Zon Ekonomi Khas Sempadan meliputi kawasan utara Malaysia dan selatan Thailand bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan dan Pengoperasian Jajaran Baharu Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, Thailand di Bukit Kayu Hitam hari ini.

Yang turut hadir, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.

Turut serta dalam majlis perasmian itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.

Anwar berkata, laluan ini menandakan satu lagi pencapaian strategik yang mencerminkan kejayaan kerjasama erat antara kedua negara dalam membangunkan infrastruktur sempadan yang lebih moden, bersepadu dan berdaya tahan.

Katanya, usaha membangunkan kawasan sempadan perlu dilakukan secara bersama antara Malaysia-Thailand bagi memastikan kemakmuran antara wilayahnya dapat dirasai penduduk sekitar, sekali gua menjamin kestabilan rantau ini

“Ini bukan sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan cepat dan mudah, tetapi saya percaya dengan iltizam kepimpinan Thailand dan Malaysia, kita mampu menerajui pembangunan baharu ini dengan baik untuk rakyat.

“Selain wilayah selatan Thailand, manfaatnya turut diterima negeri terutama Kedah, Perlis, Kelantan dan Pulau Pinang yang menghasilkan pelbagai produk pertanian dan perkilangan yang dieksport melalui laluan ini,” katanya.

Sementara itu, Anutin dalam ucapannya berkata, pembukaan laluan baharu berkenaan akan memudahkan perjalanan rentas sempadan dan pergerakan barangan serta mengurangkan kesesakan di CIQ Sadao yang menjadi laluan paling sibuk di sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, Thailand turut bersedia membincangkan pelbagai usaha kerjasama lain di kawasan sempadan membabitkan wilayahnya di Satun, Songkhla dan Narathiwat yang mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi pada masa hadapan.

“Selepas ini kita menyaksikan pelbagai barangan dari Malaysia dapat dihantar ke Thailand dan terus ke China atau sehingga ke Rusia melalui jalan darat yang lebih lancar hasil pembukaan laluan baharu ini.

“Begitu juga bagi barangan dari Thailand apabila ia lebih mudah dihantar ke Malaysia terus ke Singapura sehingga ke Indonesia. Ia akan membuka pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan yang memberi manfaat kepada kedua negara,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img