PM jelaskan cabaran turunkan harga RON95, diesel

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sudah melaksana pelbagai usaha membantu rakyat termasuk menurunkan harga minyak yang disifatkannya satu langkah yang tidak mudah dilaksana.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan perlu memastikan kewangan stabil memandangkan langkah menurunkan RON95 dan diesel, menelan belanja besar.

“Macam minyak, ingat senang (turunkan harganya). Ya..kita sudah turun, tapi mahu turun lagi, pening kepala. Kita belanja, duit banyak mahu cari mana.

“Tapi kalau tak turun orang susah, orang berniaga susah, jadi turun (harga) RON95. Itu harga minyak kita paling rendah di dunia.

“Kemudian, ini PMX, minyak (RON95) dia turun, diesel dia tak mahu turun. Marah lagi.

“Jadi kita cari jalan, bincang, diesel harga tinggi, mahu turun..susah. Kadang-kadang bekalan pun belum cukup,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Sahabat Madani Bukit Batu di Kulai hari ini.

Yang turut hadir, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, kerajaan tak boleh mengambil langkah terburu-buru serta drastik dalam menentukan pendekatan terbaik menurunkan harga minyak.

“Tapi saya tengok orang naik motosikal pergi ladang, pergi kebun, pakai diesel banyak. Bas sekolah, pengangkutan semua pakai diesel.

“Tapi kita rancang, kalau saya cepat sangat (turunkan), tak sedia betul-betul, negara rosak. Sekarang diesel RM2.10, antara paling rendah di dunia,” katanya.

Justeru, beliau meminta rakyat bersabar kerana kerajaan sedang berusaha memperbaiki dasar bagi memastikan isu kos sara hidup rakyat dapat ditangani sebaiknya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img