Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang turut membawa rakyat Malaysia telah dipintas secara tidak sah di perairan antarabangsa oleh tentera Zionis Israel sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
Katanya, beliau mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa ini.
”Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat.
”Saya menuntut agar kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya, dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan,” katanya melalui akaun Telegram beliau.
beliau berkata, Kerajaan MADANI akan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini dan akan berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka sesegera mungkin.
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) memaklumkan sembilan kapal termasuk Conscience dan Umm Saad yang dinaiki sembilan aktivis Malaysia telah dipintas, namun maklumat terperinci mengenai peserta masih belum diketahui.
“Lapan delegasi Malaysia berada di atas kapal Conscience dan seorang lagi di atas kapal Umm Saad. Pihak MyCARE akan mengadakan sidang media pada 12 tengah hari ini,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata misi kemanusiaan FFC ke Gaza dijangka memasuki zon merah pada 5 petang waktu Malaysia hari ini, sekali gus semakin hampir ke kawasan berisiko tinggi.
Misi FFC kali ini menyaksikan lapan wakil Malaysia berada dalam kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 Sept lepas diketuai Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, tiga doktor iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Turut serta berada di atas kapal berkenaan dua pensyarah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saadyang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 Sept bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.
Misi kemanusiaan itu bertujuan menghadirkan liputan langsung dan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang sedang mengalami kepungan dan sekatan Israel.


