SEORANG wanita maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan di Jalan Jambatan Kuala Ibai, Kuala Terengganu petang tadi.
Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, mangsa berusia 40 tahun yang bekerja dalam sektor sumber manusia disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Aprilia dari arah Gong Badak menghala ke sebuah inap desa di Dungun.
“Setiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum melanggar pembahagi tengah jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi media malam ini, lapor Harian Metro.
Difahamkan mangsa dari Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang Selangor ke negeri ini bersama suami menunggang secara berasingan bagi menyertai acara Superbike Fighter yang diadakan selama dua hari bermula semalam.
Azli berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Katanya, motosikal terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tujuan pemeriksaan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.






