Lari sekatan polis, pasangan kekasih ditahan bersama dadah RM13,830

CUBAAN sepasang kekasih melarikan diri selepas dipercayai melanggar lampu isyarat membawa padah apabila mereka diberkas bersama heroin dan syabu bernilai RM13,830 di Taman Sri Wang, Arau malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pasangan itu terdiri daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai tukang cat kereta dan seorang wanita berusia 43 tahun yang menjalankan perniagaan dalam talian.

Menurutnya, kedua-duanya ditahan kira-kira jam 10.40 malam ketika Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Arau menjalankan Ops Motosikal/Samseng Jalanan.

“Ketika penugasan, anggota polis mengesan pasangan terbabit menaiki motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam dipercayai melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat.

“Polis kemudian mengekori motosikal berkenaan dan mengarahkan mereka berhenti, namun penunggang enggan mematuhi arahan sebaliknya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis mengejar motosikal terbabit sebelum berjaya menahan pasangan itu di Taman Sri Wang.

“Hasil pemeriksaan ke atas motosikal menemukan sebuah beg berzip hitam di dalam bakul motosikal yang mengandungi 13 paket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki heroin seberat 380.45 gram.

“Turut ditemukan 13 paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki syabu seberat 39.37 gram serta sebuah alat penimbang digital,” katanya.

Menurut Ahmad Mohsin, nilai rampasan heroin dianggarkan RM9,500 manakala syabu bernilai RM4,330 menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM13,830.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img