TINDAKAN seorang penjawat awam memandu kenderaan dengan cukai jalan dan insurans tamat tempoh membawa kepada penemuan dua pucuk pistol, dadah serta senjata berbahaya lain dalam satu rondaan polis di Kampung Tok Lawit, 10 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu kira-kira jam 6.20 petang selepas didapati berkelakuan mencurigakan ketika diperiksa.
“Suspek yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina pada awalnya ditahan atas kesalahan jalan raya.
“Bagaimanapun, tingkah laku suspek mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas kenderaan terbabit.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua pucuk pistol, dua bilah kerambit, satu gari dan beberapa paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah,” katanya.
Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kelantan turut mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik.
“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan senjata api itu daripada seorang lelaki di Jeli, Kelantan.
“Polis masih menyiasat motif kegunaan senjata api berkenaan,” katanya.
Sharudin berkata, reman terhadap suspek disambung selama lima hari lagi bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 89 Akta Polis 1967 serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


