POLIS menahan dua lelaki tempatan selepas penemuan mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 3 Julai lalu di kawasan hutan Kampung Takula, Sipitang dengan mangsa dipercayai maut akibat terkena tembakan ketika aktiviti memburu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suand, kes itu pada mulanya disiasat sebagai kes orang hilang selepas keluarga mangsa membuat laporan polis pada 8 Julai lalu.
Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa yang dibalut menggunakan kanvas di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati tindakan membungkus mayat itu dipercayai dilakukan suspek kerana panik dan takut selepas kejadian berlaku,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati mangsa dipercayai terkena tembakan ketika keluar memburu bersama kedua-dua suspek.
Katanya, polis turut merampas dua senjata api buatan sendiri jenis bakakuk daripada suspek semalam bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Terdahulu, mangsa keluar bersama dua rakannya ke kawasan hutan Kampung Takula pada 3 Julai lalu untuk memancing dan memburu.
Bagaimanapun, kedua-dua rakannya pulang pada 5 Julai tanpa mangsa, sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis selepas lelaki itu gagal pulang ke rumah.






