Mahkamah Tinggi ketepikan pampasan RM78.6 juta kepada Sime Darby

MAHKAMAH  Tinggi Shah Alam mengetepikan pampasan tambahan sebanyak RM78.6 juta yang dianugerahkan kepada Sime Darby Property Bhd berhubung pengambilan tanahnya oleh kerajaan untuk projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

Mahkamah memutuskan memihak kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada Jumaat lepas dengan mengetepikan pampasan bagi pemisahan dan kesan memudaratkan yang dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh kumpulan itu, Sime Darby Property (Klang) Sdn Bhd.

“Syarikat sedang meneliti keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, termasuk pilihan perundangan yang ada,” kata Sime Darby Property dalam satu makluman kepada bursa hari ini, lapor FMT

Pada 2015, pentadbir tanah daerah Klang memberikan pampasan berjumlah RM169.3 juta bagi pengambilan wajib tujuh lot tanah di Klang berkeluasan 504,101 meter persegi untuk projek WCE.

Pampasan tersebut merangkumi RM90.7 juta bagi nilai pasaran tanah, dan baki RM78.6 juta untuk ‘pemisahan dan kesan memudaratkan’. Ini merujuk kepada kerugian yang dialami oleh pemilik tanah apabila pengambilan sebahagian tanah mereka menjejaskan nilai atau kegunaan baki tanah yang tinggal.

Bagaimanapun, LLM memfailkan bantahannya terhadap anugerah kesan memudaratkan sebanyak RM78.6 juta itu di Mahkamah Tinggi pada 6 Ogos 2015. Kes tersebut telah melalui pelbagai prosiding dan rayuan selama bertahun-tahun sebelum dibicarakan semula pada 10 dan 11 Mac tahun ini.

Menurut Sime Darby Property, mahkamah akan menentukan hal-hal berbangkit yang lain, termasuk kos yang perlu dibayar, pada 20 Julai ini.

“Pada peringkat litigasi ini, ia tidak dijangka memberi sebarang kesan material terhadap operasi kumpulan,” katanya menambah, alasan penghakiman bertulis belum dikeluarkan oleh mahkamah.

WCE sepanjang 233km merentasi Banting, Selangor, dan Taiping, Perak, dan direka bentuk sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan yang sering sesak. Ia mempunyai 21 persimpangan bertingkat dan berhubung terus dengan lebuh raya utama yang lain bagi meningkatkan kesalinghubungan kawasan pantai.

Berita mengenai pertikaian perundangan tersebut tidak menjejaskan harga saham Sime Darby Property, yang ditutup 1 sen atau 0.7% lebih tinggi pada RM1.37, lantas memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM9.32 bilion.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img