PEMBANGUNAN Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) Malaysia-Thailand bukan sahaja dijangka melonjakkan perdagangan antara kedua-dua negara, malah antara Malaysia dengan beberapa negara ASEAN lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain pembangunan di kawasan utara termasuk di Perlis, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan utara Perak, bidang seperti perikanan dan pertanian juga dijangka berkembang selepas Thailand memberi kelonggaran untuk produk Malaysia dihantar ke Laos, Kemboja dan Vietnam melalui sempadan negara itu.
“Kita sasarkan umpamanya peningkatan perdagangan Thailand-Malaysia yang mempunyai potensi besar tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
“Ketika ini, kita berikan laluan bagi barang makanan dan perikanan dari Thailand melalui Semenanjung ke Singapura. Sebelum ini, barang dari Malaysia tidak dapat melepasi beberapa sekatan kastam Thailand untuk ke Laos, Kemboja dan Vietnam.
“Bagaimanapun, dengan perjanjian baharu ini (di bawah BEZ Malaysia-Thailand), Perdana Menteri Thailand (Anutin Charnvirakul) bersetuju memberikan kelonggaran itu, maknanya peluang perdagangan untuk Malaysia dari bidang perikanan dan pertanian supaya (barangan) melepasi sekatan biasa kastam itu dapat dikendalikan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai manfaat ekonomi yang dijangka diperoleh Malaysia daripada BEZ Malaysia-Thailand dan mekanisme bagi memastikan manfaat itu turut dinikmati perusahaan kecil dan komuniti di kawasan sempadan.
Perdana Menteri berkata, Anutin juga bersetuju supaya tumpuan diberikan kepada pembangunan di utara Semenanjung dan selatan Thailand, terutama di kawasan yang tersisih, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan.
Beliau memaklumkan, di bawah inisiatif Power Up 10K, Kerajaan Persekutuan meluluskan pembiayaan bagi menyokong perindustrian kecil sederhana (PKS ) dan peniaga kecil di utara.
Ia membabitkan RM400 juta bagi usahawan dan koperasi di Kelantan, RM287 juta di Kedah serta RM45 juta di Perlis supaya kepentingan masyarakat di peringkat lebih rendah dan peniaga kecil Bumiputera tidak terlepas daripada peningkatan kegiatan ekonomi.
“Kita sudah cadangkan kepada kerajaan negeri supaya membangunkan kawasan di sekitar Rantau Panjang dari segi perdagangan, peniaga dan pengusaha kecil, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu Bumiputera.
“Ini terangkum dalam kegiatan di bawah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kerajaan Persekutuan sudah memutuskan supaya dikembangkan dari Tumpat ke Rantau Panjang dan sempadan.
“Pada masa sama, dalam perbincangan dengan Anutin, kita cadangkan supaya laluan kereta api itu dapat diteruskan ke Thailand dengan jalur yang sama, yang dibincangkan Kementerian Pengangkutan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan memperuntukkan RM327 juta bagi membangunkan Perlis Inland Port (PIP) yang bakal menjadi hab logistik strategik negara dengan rangkaian pengangkutan sehingga ke Laos.
Beliau berkata, pembangunan PIP antara projek utama bawah pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand yang bertujuan memperkukuh perdagangan rentas sempadan serta meningkatkan hubungan logistik serantau.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM327 juta bagi pembangunan PIP yang berfungsi sebagai hab logistik penting dengan jaringan yang menjangkau hingga ke Laos,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) sama ada kerajaan menetapkan sasaran minimum penyertaan PKS tempatan dalam BEZ Malaysia-Thailand, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diberikan perhatian.
“Sebab itu, saya cadangkan kerajaan negeri menyediakan tempat, seperti yang sedang diselenggarakan kerajaan Kelantan atas cadangan kita.
“Kerajaan Persekutuan boleh berikan sedikit pembiayaan untuk menyediakan peluang pekerjaan bagi peniaga kecil, umpamanya di sekitar kawasan pembangunan jambatan baharu Rantau Panjang di Kelantan dan diadakan kedai, warung dan restoran dan untuk peniaga kecil,” katanya.






