JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memperkukuh kesiapsiagaan operasi dengan mengatur gerak aset darat dan udara secara strategik susulan peningkatan kes kebakaran terbuka akibat cuaca panas yang dipengaruhi fenomena Super El Nino.
Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata, persiapan awal sudah dilaksanakan bagi memastikan semua kekuatan operasi berada pada tahap optimum sepanjang musim cuaca kering.
Menurutnya, tumpuan diberikan kepada kesiapsiagaan anggota, selain mengoptimumkan penggunaan aset di kawasan dikenal pasti sebagai titik panas (hot spot) serta lokasi baharu yang berisiko berlaku kebakaran.
“Berdasarkan analisis dan pemantauan berterusan bermula 1 Julai lalu, berlaku peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka dalam tempoh tiga hari iaitu pada 10, 11 dan 12 Julai.
“Setakat ini, Bahagian Kuching dan Miri merekodkan jumlah kes kebakaran terbuka tertinggi berbanding bahagian lain di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, keseluruhan situasi masih berada pada tahap terkawal dan stabil, namun berpotensi menjadi lebih serius sekiranya aktiviti pembakaran terbuka terus dilakukan ketika cuaca panas berpanjangan.
Katanya, kebakaran terbuka bukan sahaja mengancam keselamatan awam, malah boleh menjejaskan kesihatan penduduk serta aktiviti harian akibat pencemaran asap.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai menghentikan sebarang aktiviti pembakaran terbuka sepanjang musim cuaca panas bagi mengelakkan risiko kebakaran yang lebih besar.
Dalam pada itu, JBPM Sarawak akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Natural Resources and Environment Board (NREB) bagi mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap individu atau syarikat yang melakukan pembakaran terbuka.
Sementara itu, Jamri berkata, satu kejadian kebakaran hutan dilaporkan berlaku di Taman Negara Niah sejak semalam selepas dipercayai berpunca daripada sambaran petir yang membakar pokok di kawasan puncak bukit batu kapur.
Beliau berkata, operasi pemadaman berdepan kesukaran kerana lokasi kejadian sukar diakses, menyebabkan bantuan Unit Udara JBPM yang berpangkalan di Miri digerakkan bagi melaksanakan operasi water bombing untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan hutan berhampiran.






