MALAYSIA bakal menjadi tumpuan komuniti regulatori dan teknologi antarabangsa apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan International Regulatory Conference (IRC) 2026 di Kuala Lumpur pada 21 hingga 22 Julai ini.
Persidangan edisi ketiga tahun ini membawa tema Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust sejajar dengan keperluan membentuk ekosistem digital yang lebih selamat, berdaya tahan dan dipercayai.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dijadual menyempurnakan perasmian persidangan dua hari itu pada 21 Julai ini.

Pada persidangan kali pertama yang berlangsung pada 6 hingga 7 Mei 2024, tema yang diangkat adalah ‘Menyelaras Inovasi Dengan Keselamatan Untuk Masa Depan Mampan’ manakala tema IRC 2025 yang diadakan pada 7 hingga 8 Januari 2025 bertemakan Leaping into the Quantum Frontier: Regulation and Innovation in the Tech Era.
MCMC dalam kenyataan berkata, IRC 2026 bakal menghimpunkan pengawal selia, pembuat dasar, peneraju industri, ahli akademik, organisasi antarabangsa dan pakar teknologi bagi membincangkan hala tuju regulasi dalam era transformasi digital yang semakin pesat.
“Persidangan ini turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang aktif memacu perbincangan dasar komunikasi dan multimedia di peringkat serantau dan global,” kata MCMC dipetik dari laman web persidangan tersebut.
Menurut MCMC, peserta akan mengikuti siri ucaptama, dialog dan perkongsian ilmu yang memfokuskan kepada isu-isu utama seperti tadbir urus digital, perlindungan data peribadi, kawalan kandungan, keselamatan dalam talian, kecerdasan buatan (AI) serta keseimbangan antara inovasi teknologi, hak pengguna dan kepentingan awam.
Perbincangan ini bertujuan mengenal pasti pendekatan regulatori yang responsif terhadap perubahan teknologi di samping memperkukuh kepercayaan dan daya tahan ekosistem digital, kata suruhanjaya itu.
Sesi dialog yang bakal mencuri tumpuan pada persidangan itu adalah Online Safety by Design yang meneliti akauntabiliti platform digital dan perlindungan kanak-kanak dalam talian dan Sovereign Data, Empowered Citizens yang membincangkan kepercayaan.
Turut dibincangkan adalah mengenai privasi dan hak pengguna dalam ekonomi digital; Regulatory Aspiration vs Economic Reality yang mengupas cabaran pelaksanaan dasar dalam persekitaran digital yang dinamik serta AI and the Humanities yang meneroka implikasi kecerdasan buatan terhadap masyarakat, etika dan pembangunan insan.
IRC 2026 menampilkan barisan penceramah berprofil tinggi daripada MCMC, agensi kerajaan, badan pengawal selia antarabangsa, organisasi serantau seperti ASEAN dan ITU, syarikat teknologi global, institusi pengajian tinggi serta pertubuhan masyarakat sivil.
IRC 2026 turut menampilkan barisan penceramah terkemuka dari pelbagai sektor dan negara antaranya Pesuruhajaya Kanak-Kanak UNICEF Saskia Blume, Timbalan Ketua Pengarah Infocomm Media Development Authority (IMDA) Singapura Aileen Chia dan Ketua Perancangan Strategik dan Keanggotaan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Sulyna Abdullah.
Turut terlibat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke, Ketua Keselamatan Ericson, Dr Connie McIntosh dan Ketua Jualan IBM Quantum bagi Asia Pasifik dan Jepun, Rizwan Hussain serta wakil industri seperti pengasas Tune Talk, Gurtaj Singh Padda, Nik Emir Nik Mohamed Din (Sea & Shopee Malaysia) dan Eric Du (Huawei Malaysia).
Persidangan ini turut mendapat penyertaan tokoh tempatan daripada sektor kerajaan, ahli akademik dan industri termasuk wakil CyberSecurity Malaysia, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kementerian Kesihatan serta beberapa firma telco sekali gus memperkayakan perbincangan dengan pelbagai perspektif.
Kepelbagaian perspektif ini dijangka memperkayakan perbincangan mengenai masa depan regulasi digital di peringkat global.
IRC 2026 turut menjadi platform strategik untuk memperkukuh kerjasama rentas sektor, berkongsi amalan terbaik dan membentuk penyelesaian terhadap cabaran digital yang semakin kompleks.
Selaras dengan tema Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust, persidangan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam membina ekosistem digital yang progresif, inklusif dan mampan demi manfaat rakyat, industri dan komuniti antarabangsa.
“Dalam dunia digital yang berkembang pesat, regulasi bukan sekadar mekanisme pematuhan tetapi pemangkin kepada inovasi yang bertanggungjawab.
“IRC 2026 membuka ruang kepada dialog strategik, perkongsian amalan terbaik dan pembentukan kerjasama yang mampu memperkukuh masa depan ekonomi digital,” demikian menurut MCMC.
Persidangan ini dijangka menjadi platform strategik untuk mempertemukan pelbagai pihak berkepentingan dalam merangka penyelesaian terhadap cabaran digital masa kini, termasuk aspek keselamatan siber, kepercayaan pengguna, tadbir urus data dan penggunaan teknologi baharu secara bertanggungjawab.
Dengan penyertaan pakar dari Malaysia dan pelbagai negara, IRC 2026 mengukuhkan aspirasi negara untuk menjadi peneraju dalam perbincangan mengenai dasar komunikasi, multimedia dan regulasi digital sekali gus menyumbang kepada pembentukan ekosistem digital yang lebih inklusif, mampan dan dipercayai.






