Malu tersalah masuk tandas perempuan, pelajar reka cerita diculik

POLIS mengesahkan dakwaan tular mengenai kejadian culik membabitkan seorang pelajar sekolah di Kuala Nerang, kelmarin adalah tidak benar, sebaliknya berpunca daripada laporan palsu yang dibuat mangsa sendiri.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan mendapati pelajar lelaki berusia 14 tahun itu mereka cerita diculik kerana berasa malu dan tertekan selepas tersilap memasuki tandas perempuan di sekolahnya.

Beliau berkata, kejadian berlaku selepas tamat sesi persekolahan apabila pelajar itu memasuki tandas perempuan berhampiran surau sebelum terserempak dengan seorang pelajar perempuan ketika mahu keluar.

“Pelajar itu terus melarikan diri kerana panik selepas diekori beberapa pelajar perempuan yang mempersoalkan tindakannya.

“Dalam keadaan buntu dan tertekan, dia menahan sebuah motosikal untuk menumpang ke kawasan Ladang Sungai Seraya sebelum turun di sebuah rumah yang didakwa kononnya rumahnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Menurutnya, pemilik rumah berkenaan mengesyaki sesuatu yang mencurigakan lalu menghubungi polis kira-kira jam 7 malam sebelum pelajar itu membuat laporan mendakwa dia diculik dua lelaki tidak dikenali.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati tiada kejadian culik berlaku dan pelajar terbabit berada dalam keadaan selamat.

Adzli berkata, siasatan awal sebelum itu mendapati mangsa mendakwa didatangi dua lelaki ketika berada di hentian bas berhampiran Balai Bomba Kuala Nerang kira-kira jam 5.50 petang yang kononnya menutup mata dan mulutnya sebelum memaksanya masuk ke dalam sebuah kenderaan.

Mangsa turut mendakwa kedua-dua tangan dan kakinya diikat sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

“Namun selepas disoal siasat, pelajar itu mengaku cerita tersebut direka.

“Saya menggesa masyarakat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Adzli berkata, pelajar itu turut mendakwa pernah menjadi mangsa buli di sekolah lamanya di Alor Setar sebelum berpindah ke sekolah baharu di Kuala Nerang.

Katanya, semakan mendapati mangsa pernah membuat laporan polis pada 18 Jun lalu berhubung dakwaan dipaksa mengambil makanan untuk pelajar senior, susulan itu empat pelajar Tingkatan Empat dan Lima ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

Beliau berkata, polis turut mengambil keterangan penunggang motosikal yang menumpangkan mangsa serta pemilik rumah berkenaan bagi melengkapkan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img