Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Turkiye akan membantu dalam usaha membebaskan sembilan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) Malaysia yang ditahan rejim Zionis Israel hari ini
Perdana Menteri berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menerusi Menteri Luarnya, Hakan Fidan kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Sahabat saya Erdogan baru beri mesej melalui menteri luarnya sampaikan kepada Datuk Mohamad Hasan, insya-Allah Turkiye akan terus bantu sembilan (aktivis FFC) itu,” katanya semasa menyampaikan ucap tama di Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Anwar turut menyelar sikap sesetengah masyarakat yang mengkritik usaha para sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) melakukan misi kemanusiaan menuju ke Gaza.
Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap para aktivis yang sanggup mengambil risiko dalam usaha menjayakan misi tersebut walaupun akhirnya dihalang oleh tentera Israel.
“Kamu tak berani pergi kamu doakan, ini tidak kamu hamun dia, kita bangga mereka mencipta sejarah anak-anak yang sanggup berjuang,” katanya.
Anwar turut menyatakan hasrat untuk berunding dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dalam usaha membawa masuk bantuan kemanusiaan menggunakan laluan darat melalui pintu Rafah.
Beliau berkata perkara tersebut akan dibincangkan dengan jemaah menteri, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri.
“Saya akan panggil kawan-kawan bincang bagaimana strategi hendak sampai ke Mesir, pecah tembok Rafah, Kalau boleh minggu depan setelah berunding dengan mereka, saya akan hubungi Presiden Mesir, mudah-mudahan, laluan ini lebih mudah,” katanya.


