DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap negara perlu mempunyai ruang dan kebebasan menentukan hala tuju pembangunan masing-masing tanpa dibataskan persaingan kuasa besar dunia.
Perdana Menteri berkata, keterbukaan ekonomi juga perlu diterjemahkan melalui peluang yang lebih adil kepada negara membangun untuk memperkukuh kemandirian, meningkatkan inovasi serta meneroka industri bernilai tinggi.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih saksama oleh semua negara.
“Saya juga menggesa supaya China dan negara Asia Tenggara memperluas kerjasama dalam kecerdasan buatan dan transformasi digital menerusi penyelidikan serta inovasi bersama.
“Kemajuan teknologi mesti terus berpaksikan etika, kebertanggungjawaban dan maruah insan.
“Berpandu pada Wawasan Putrajaya 2040, Malaysia akan terus menjalin hubungan konstruktif dengan semua rakan demi membina Asia Pasifik yang terbuka, berdaya tahan dan aman.
“Ukuran sebenar kemajuan ialah peluang yang terbuka dan perubahan yang dirasai dalam kehidupan rakyat,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2026 yang mengetengahkan gagasan keterbukaan ekonomi secara saksama bagi rantau Asia Pasifik.
Anwar tiba di Shenzhen, China, semalam bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-33.





