SYARIKAT pemaju Forest City akan mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang dan hak kontrak sepenuhnya sekiranya siasatan mendapati Network School melanggar undang-undang termasuk berkaitan imigresen, pelesenan, penggunaan tanah atau syarat kontrak.
Pengurusan Country Garden Pacificview Sdn Bhd berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang sedang menyiasat dakwaan membabitkan Network School termasuk isu kewarganegaraan seorang individu.
Dalam satu kenyataan syarikat itu berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya pendirian kerajaan bahawa Johor tidak boleh dijadikan pangkalan kepada ideologi, gerakan atau aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang Malaysia atau menjejaskan kedaulatan Johor serta negara.
Menurutnya, Forest City bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam (JKDM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan lain.
“Semua dokumen yang diperlukan akan diserahkan bagi membantu melancarkan siasatan yang menyeluruh, tepat dan dapat diselesaikan dengan segera.
“Jika pihak berkuasa mendapati wujud sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan imigresen, pelesenan, penggunaan tanah atau syarat kontrak, Forest City akan menguatkuasakan hak undang-undang dan hak kontraknya sepenuhnya,” kata kenyataan itu.
Pemaju berkenaan turut menegaskan dasar toleransi sifar terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan premis, ketidakpatuhan terhadap peraturan imigresen atau apa-apa aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam serta kepentingan negara.
“Forest City kekal komited terhadap pematuhan undang-undang, ketelusan serta memastikan keselamatan komuniti, melindungi kepentingan Johor dan memelihara kedaulatan Malaysia,” katanya.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam mengarahkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan bahawa warga Israel menjadi sebahagian daripada komuniti Network School dan didakwa memasuki negara ini menggunakan pasport kedua.






