Feras Al Brikan menjaringkan dua gol ketika Arab Saudi bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Indonesia 3-2 dalam perlawanan dramatik Kelayakan Asia AFC – Road to 26 yang berlangsung di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah, Jeddah malam tadi.
Kevin Diks memberikan kejutan awal kepada Indonesia dengan gol penalti pada minit ke-11, namun pasukan bimbingan Herve Renard pantas membalas menerusi jaringan Saleh Abu Al Shamat, sebelum dua gol daripada Al Brikan- masing-masing sebelum dan selepas separuh masa – meletakkan pasukan yang telah layak ke Piala Dunia FIFA sebanyak enam kali itu di ambang satu lagi kemaraan ke pusingan akhir.
Diks menambah satu lagi gol saguhati – juga menerusi sepakan penalti -selepas Mohammed Kanno dibuang padang, namun ia tidak mencukupi untuk menafikan kemenangan penting Arab Saudi di laman sendiri dalam Kumpulan B, lapor ArabNews.
Pasukan pelawat bermula dengan cemerlang dan mendapat ganjaran awal apabila pertahanan Al Hilal, Hassan Al Tambakhti, didapati menyentuh hantaran Dean James dengan tangan. Selepas semakan VAR yang panjang, pengadil Ahmad Al Ali memberikan sepakan penalti kepada Indonesia.
Diks, yang sebelum ini gagal menyempurnakan penalti ketika menentang Australia, tidak melakukan kesilapan kali ini dan tenang menyepak bola melepasi Nawaf Al Aqidi.
Arab Saudi segera bertindak balas. Enam minit kemudian, Abu Al Shamat meledak dari luar kotak penalti selepas gerakan menarik pasukan untuk menyamakan kedudukan.
Pasukan tuan rumah terus mengasak, dengan percubaan Nawaf Bu Washl dinafikan oleh Maarten Paes, sebelum Abu Al Shamat pula menggegarkan palang gol dengan rembatan padu.
Tekanan berterusan membuahkan hasil pada minit ke-36 apabila Yakob Sayuri didapati menarik baju Al Brikan dalam kotak penalti. Penyerang Al Ahli itu menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Al Brikan sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-61, apabila beliau pantas menyambar bola muntah selepas percubaan jarak jauh Musab Al Juwayr ditepis oleh Paes.
Diks kemudian menjaringkan penalti keduanya pada minit ke-88 selepas Mohammed Kanno dilayangkan kad merah dalam masa kecederaan, menambah debaran di penghujung perlawanan. Namun, Arab Saudi bertahan dengan baik untuk memastikan tiga mata penting.
Kemenangan ini meletakkan Arab Saudi dalam kedudukan kukuh untuk layak ke Piala Dunia 2026. Arab Saudi akan berdepan Iraq pada hari Selasa depan manakala Indonesia pula mesti menewaskan Australia untuk mengekalkan harapan kelayakan mereka.


