
WALAUPUN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini ‘seolah-olah’ ada kerjasama antara UMNO dan Pas namun ia tidaklah begitu ketara.
Ia memandangkan pemimpin Pas hanya menyeru pengundi dan penyokong mereka memberi undi kepada calon BN di kawasan yang tidak ditandingi oleh Perikatan Nasional (PN) – maksudnya undi siapa sahaja asalkan bukan Pakatan Harapan (PH).
Hasilnya, BN menang besar dengan memperolehi 48 kerusi manakala PH hanya menang lapan kerusi.
Bagaimanapun gelanggang PRN Negeri Sembilan (NS) berbeza apabila BN secara terbuka mengumumkan mereka mencapai ‘sefahaman dengan rakan yang boleh dipercayai’.
Sefahaman itu terbukti apabila BN memutuskan hanya bertanding 25 daripada 36 kerusi pada PRN NS pada 1 Ogos nanti manakala 11 lagi kerusi akan ditandingi oleh ‘rakan yang dipercayai’.
Berdasarkan kerusi yang akan ditandingi oleh UMNO (14 kerusi), MCA (7 kerusi) dan MIC (4 kerusi), 11 kerusi lagi yang akan ditandingi oleh ‘rakan sefahaman’ BN ialah DUN Serting, Klawang, Ampangan, Paroi, Bagan Pinang, Gemas, Lobak, Sikamat, Bukit Kepayang, Mambau dan Lukut.
Daripada 11 kerusi itu, tujuh kerusi dianggap kerusi Melayu iaitu Serting yang dimenangi oleh Pas dengan majoriti 843 undi, Sikamat (PKR 2,662 undi), Klawang (Amanah majoriti 577 undi), Ampangan (PKR majoriti 329 undi), Paroi (Pas 5,539 undi), Bagan Pinang (Pas 3,120 undi) dan Gemas (3,120 kerusi).
Daripada tujuh kerusi itu sudah pasti Pas akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya iaitu Serting,Paroi, Bagan Pinang dan mungkin Sikamat, manakala tiga lagi kerusi Klawang, Ampangan dan Gemas mungkin akan ditandingi oleh Wawasan.
Sikamat, Klawang, Ampangan dan Gemas sebelum ini ditandingi oleh Bersatu. Tetapi disebabkan Bersatu ‘merajuk’ kerusi-kerusi Bersatu itu akan ditandingi oleh Pas dan Wawasan.
Bagaimanapun adalah sesuatu yang menarik jika Bersatu dan Pejuang turut bertanding di kesemua tujuh kerusi tersebut.
Empat lagi kerusi yang akan ditandingi oleh PN ialah Lobak (DAP majoriti undi 13,504 undi), Bukit Kepayang (DAP 19,684 undi), Mambau (DAP 14,940 undi) dan Lukut (DAP 10,135 undi). Mungkin Gerakan dan MIPP akan bertanding di kerusi-kerusi berkenaan.
Berikutan langkah BN khususnya UMNO memberi laluan kepada PN bertanding di tujuh kerusi Melayu, tidak mustahil PN – Pas dan Wawasan – mampu memenangi kesemua kerusi tersebut.
Manakala bagi empat kerusi yang mungkin akan ditandingi oleh Gerakan dan MIPP laluan nampak sukar namun tidak mustahil kedua-dua parti itu melakukan kejutan.
Kesediaan UMNO membuka laluan kepada PN akan membuka satu lembaran baru dalam pertarungan parti-parti Melayu dalam pilihan raya. Dengan kekuatan Pas, keampuhan UMNO dan strategi Wawasan tidak mustahil mereka mampu merampas negeri itu daripada PH.






