Marzuki dakwa ada pihak berniat tidak benarkan Bersatu tanding atas lambang PN

BEKAS Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas kritikan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa berhubung keputusan parti itu bertanding atas lambang sendiri.

Datuk Dr Marzuki Mohamad dalam jawapannya kepada Annuar berkata, Bersatu membuat keputusan itu kerana ada pihak tertentu berniat untuk tidak membenarkan parti itu bertanding atas lambang PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak lama lagi.

“Dia ibarat macam ini lah. Bila awak jadi tuan rumah PN, awak kunci Bersatu dalam bilik. Bila Bersatu tendang pintu rumah untuk membebaskan diri, awak tuduh Bersatu merosakkan harta benda. Ini sifat pembuli,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Annuar semalam mendakwa, Bersatu memilih untuk mufarakah dari PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan apabila mengumumkan bertanding menggunakan lambang sendiri.

Annuar turut mendedahkan, Bersatu memaklumkan kepada jawatankuasa perundingan kerusi PN hasrat untuk bertanding 15 kerusi, yang sudah pasti tidak tertunai kerana PN mempunyai enam parti serta jumlah kerusi yang kurang daripada 15.

Katanya lagi, Bersatu kini bebas untuk bertanding 15 kerusi atau lebih susulan keputusan bertanding atas lambang sendiri, dan menambah pihaknya memahami dari awal penentangan Bersatu secara konsisten terhadap usaha penyatuan dan muafakat Melayu.

Marzuki bagaimanapun berkata, senarai kerusi diingini adalah perkara biasa dalam rundingan pilihan raya.

“Bila dirunding daripada 15 kerusi yang dapat 5 atau 6 kerusi sahaja. Ini adat berunding. Tetapi masalahnya rundingan dengan Bersatu dihentikan tanpa sebab yang munasabah,” katanya.

“Nawaitu yang sebenarnya adalah untuk tidak membenarkan Bersatu bertanding satu kerusi pun atas logo PN. Jadi, apa pilihan Bersatu? Bertanding guna logo sendirilah,” ujar beliau.

Marzuki juga membidas dakwaan Bersatu hendak memecahkan penyatuan Melayu.

“Pas sudah 75 tahun melawan UMNO. Tak pula dituduh memecahkan penyatuan Melayu. Baru dua tiga hari memeluk UMNO, dah tuduh orang yang melawan UMNO dan Pas memecahkan penyatuan Melayu. Logik apa ini?,” tulis beliau.

Annuar semalam juga tidak menjelaskan mengapa PN mempunyai kurang daripada 15 kerusi untuk diagihkan, walaupun Dwan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.

Timbul spekulasi Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan calonnya bagi 25 kerusi — akan membentuk pakatan dengan komponen PN seperti Pas dan Parti Wawasan Negara, yang diterajui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada PRN Negeri Sembilan.

Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu, walaupun kedua-dua parti masih kekal dalam PN dan bertanding pada PRN Johor pada 11 Julai lalu menggunakan lambang gabungan berkenaan.

Dua parti itu tidak berkempen untuk satu sama lain pada PRN Johor, dengan Pas turut mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi BN di kawasan yang tidak ditandingi PN.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img