SEORANG subkontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas enam pertuduhan menjalankan urus niaga haram serta memiliki senjata api dan peluru pada 8 Julai lalu.
Tertuduh, Yeong Kok Hoong, 54, mengaku tidak bersalah atas kesemua enam pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid dan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menjalankan urus niaga tiga senjata api membabitkan jenis CZ750 D, Stoeger STR-9 dan Cougar 8000 FT.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 40 tahun dan minum enam kali sebatan.
Pertuduhan kedua, Kok Hoong didakwa memiliki tanpa kebenaran sah senjata airsoft Rifle Tact 4.5mm dan pistol airsoft 4.5mm.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM100,000 atau keduanya sekali.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki tanpa kebenaran sah tujuh pistol airsoft 4.5mm yang diklasifikasikan sebagai senjata tiruan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM50,000 atau keduanya sekali.
Bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa memiliki amunisi tanpa kebenaran sah iaitu 85 butir peluru RC2 Competition, enam butir Bornaghi, 121 butir Remington, 6,886 kelongsong peluru jenis 9mm, 1,503 kelongsong peluru jenis .22 dan 550 kelongsong peluru jenis .38.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM100,000 atau keduanya sekali.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Repoh, Taman Repoh, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 8 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabila Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Tan Yi Jie.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa memiliki pistol airsoft dan pistol airsoft jenis Taurus, satu komponen recoil spring dan satu aksesori kelopak airsoft tanpa kebenaran sah.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki selaras senjata shotgun yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjaea maksimum satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau keduanya sekali.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong 11, Taman Utara Jaya, Kuala Perlis kira-kira jam 3.30 petang pada 8 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Suzila Check Pi manakala tertuduh diwakili peguam Asmaniza Abdullah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan dan menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.






