POLIS berjaya menumpaskan kegiatan perlombongan bitcoin haram menerusi serbuan berasingan di dua buah premis di Bandar Seri Iskandar, semalam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, serbuan di dua buah premis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu dilakukan kira-kira jam 1.40 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua premis tersebut digunakan sebagai lokasi perlombongan bitcoin dan mempunyai penyambungan bekalan tanpa meter elektrik yang sah daripada TNB.
“Dalam operasi tersebut, polis telah merampas 62 mesin perlombongan bitcoin, dua unit penghala, empat unit komputer dan dua gulung kabel elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hafezul Helmi berkata, pihaknya giat mengesan suspek yang terlibat dengan aktiviti tersebut selain turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik premis.
Beliau memberitahu, anggaran kerugian penggunaan semasa operasi berdasarkan arus elektrik berjumlah RM60,000 dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.






