Polis serbu pusat panggilan penipuan, eksploitasi manusia: 109 warga asing ditahan

POLIS Pulau Pinang membongkar kegiatan eksploitasi manusia serta empat pusat panggilan yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud menerusi beberapa serbuan berasingan dengan menahan 109 warga asing di daerah Seberang Perai Tengah dan Timur Laut, semalam.

Dalam serbuan pertama, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri serta Balai Polis Bukit Mertajam menyerbu sebuah premis di Jalan Utara Berapit, Bukit Mertajam kira-kira jam 7 malam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, serbuan dijalankan susulan laporan polis diterima daripada seorang wakil komuniti Cameroon di Malaysia berhubung seorang wanita warganya yang dipercayai dikurung serta dieksploitasi di daerah Seberang Perai Tengah.

“Hasil serbuan berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon berusia 25 tahun serta menahan 29 warga asing terdiri daripada 20 lelaki dan sembilan wanita yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dibuat.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibawa dari Kemboja ke Malaysia melalui laluan tidak sah selepas bekerja dengan sindiket berkenaan selama hampir setahun.

“Mangsa dipercayai diperdaya dengan tawaran pekerjaan, tidak dibayar gaji serta dikawal pergerakannya. Dia hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit sekali sehari sebelum berjaya menghubungi ahli keluarganya di Cameroon untuk mendapatkan bantuan. Pasport mangsa turut dipegang pihak sindiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dennis berkata, seorang lelaki warga Taiwan yang dipercayai bertindak sebagai majikan dan pengendali kegiatan itu ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Manakala 28 lagi warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala mangsa diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya

Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan berasingan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Timur Laut turut membongkarkan kegiatan empat premis yang dipercayai dijadikan pusat panggilan penipuan pelaburan tidak wujud.

“Hasil keseluruhan serbuan itu membawa kepada penahanan 80 individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan 79 warga asing dari China, Vietnam serta Kemboja.

“Kesemua warga asing terbabit dipercayai ditawarkan pekerjaan di Malaysia melalui platform dalam talian atau ejen sebelum dibawa ke premis berkenaan.

“Mereka ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan gaji antara RM3,200 hingga RM5,000 sebulan, dengan tugas menghubungi serta memujuk mangsa supaya menyertai skim pelaburan tidak wujud,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati premis berkenaan sudah beroperasi melebihi sebulan dan turut dijadikan sebagai tempat tinggal pekerja sindiket.

“Polis turut merampas sejumlah telefon bimbit dan barangan berkaitan kegiatan penipuan hasil keseluruhan empat serbuan berkenaan.

“Kesemua tangkapan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img