DUA kejadian terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk dilaporkan berlaku dalam tempoh kurang lapan jam hari ini, membabitkan seorang wanita maut manakala bayi lelakinya dan seorang lelaki dewasa masih hilang.
Mangsa yang maut ialah Lim Li Yin, 38, manakala bayi lelakinya, Wong Long Hee, 2, masih belum ditemukan.
Seorang lagi mangsa yang hilang dalam kejadian berasingan ialah Mohd Nor Ferdaus Mohd Mokhtar, 42.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, laporan pertama diterima pada jam 11.36 pagi membabitkan kehilangan Mohd Nor Ferdaus.
Menurutnya, motosikal Modenas Z15 GT milik lelaki itu ditemukan di bahu jalan di tengah jambatan.
“Pos Kawalan Bomba (PKB) kemudian dibuka sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan. Pasukan melakukan pencarian di permukaan sungai menggunakan bot dalam radius tiga kilometer bermula jam 12.12 tengah hari, manakala Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tiba pada jam 4.33 petang.
“Bagaimanapun, keadaan arus deras menyebabkan operasi menyelam tidak dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sayani berkata, ketika operasi SAR masih dijalankan, pihaknya menerima satu lagi panggilan kecemasan pada jam 7.15 malam membabitkan seorang wanita bersama bayi lelaki yang dipercayai terjatuh dari jambatan yang sama.
“Tindakan pantas bot JBPM dapat menemukan wanita itu dalam keadaan terapung namun bayinya masih belum ditemukan.
“Wanita itu diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan namun maklumat yang diterima mengatakan wanita itu meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan itu.
Sayani memberitahu, operasi ditangguhkan jam 8.20 malam tadi dan akan disambung jam 8 pagi esok disebabkan keadaan cuaca dan faktor keselamatan.
“Bagi kes lelaki dewasa, dia dipercayai terjatuh di kawasan tengah jambatan manakala kes wanita dan bayi, mereka berdua dipercayai jatuh di bahagian hujung jambatan,” katanya.






