SEORANG wanita maut selepas kereta dinaiki bersama tunangnya merempuh bahagian belakang sebuah bas yang diparkir di tepi jalan dalam kemalangan di Lebuhraya MRR2 arah Kepong, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 4.53 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 2.30 pagi di laluan dari Batu Caves menghala ke Kepong berhampiran Taman Layang-Layang.
“Kemalangan membabitkan sebuah Proton Persona dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun bersama penumpang wanita berusia 26 tahun yang juga tunangnya.
“Kenderaan itu dipercayai bergerak di lorong kiri sebelum pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar bahagian belakang sebuah bas jenis Hino milik sebuah syarikat, yang diletakkan di tepi jalan tanpa papan tanda amaran,” katanya dalam kenyataan.
Akibat pelanggaran itu, mangsa wanita mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Tambahnya, pemandu kereta pula mengalami kecederaan di kepala dan kini dirawat di Hospital Selayang.
Menurut Mohd Zamzuri, punca kemalangan masih dalam siasatan namun dipercayai pemandu gagal mengawal kenderaan, disyaki akibat mengantuk.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, manakala sampel darah pemandu diambil bagi ujian toksikologi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.


