DUA bekas pekerja wanita sebuah klinik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang wanita ketika melakukan prosedur pengguguran, dua tahun lalu.
Tertuduh, Philomena Mathias, 83, dan Rusbur Kaur Partab Singh, 73, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua wanita warga emas itu didakwa bersama-sama menyebabkan kematian seorang wanita berusia 45 tahun, yang kematiannya dikatakan berlaku akibat perbuatan dilakukan dengan niat untuk menyebabkan keguguran.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah klinik di Jalan Changkat Bukit Bintang kira-kira pukul 5.30 petang pada 22 Oktober 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 314 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam George Loh.


