Bekas tentera direman empat hari, 205 peluru hidup dirampas

SEORANG bekas tentera direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penemuan 205 butir peluru hidup pelbagai jenis tanpa permit sah, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan sehingga 22 Julai ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Menurutnya, serbuan dilakukan kira-kira jam 5.30 pagi, 5 Julai lalu di sebuah unit di Pangsapuri Terinai, di Kangar, susulan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Beseri.

“Serbuan dijayakan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9 dan D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dengan dipandu arah oleh suspek sendiri.

“Pemeriksaan rapi di kediaman terbabit membawa kepada penemuan sebuah kotak hitam bertulis ‘Opsmen Earmor’ yang disembunyikan di bahagian bawah almari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yusharifuddin berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kotak itu menemukan tiga kotak kecil bertulis Eley Tenex .22 Rimfire Long Rifle.

Katanya, dua kotak mengandungi 50 butir peluru setiap satu, manakala sekotak lagi mengandungi 48 butir peluru.

“Polis turut menemukan 39 butir peluru jenis SME Ordnance 9mm ball di dalam kotak lutsinar serta 18 butir peluru 5.56mm Ball M193 di dalam sebuah kotak lain.

“Penemuan kesemua amunisi terbabit menjadikan jumlah keseluruhan peluru hidup yang dirampas sebanyak 205 butir,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas sekeping kad keahlian Persatuan Menembak Perlis atas nama suspek yang tamat tempoh sah laku pada 2019, selain segugus anak kunci.

“Suspek yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu kini ditahan bagi siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif pemilikan amunisi berkenaan,” katanya.

Yusharifuddin berkata, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Semalam, seorang subkontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Kangar atas enam pertuduhan menjalankan urus niaga haram serta memiliki senjata api dan peluru, awal bulan ini.

Tertuduh, Yeong Kok Hoong, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid dan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img