SEORANG lelaki warga emas berusia 66 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 15 tahun di Tawau, semalam.
Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Safiyatun Ahmadun, selepas membenarkan permohonan dikemukakan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Vun Yu Wei.
Suspek dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi tadi bagi proses permohonan reman.
Berdasarkan keterangan semasa permohonan reman, mangsa dipercayai tidak mengenali suspek dan hanya berkenalan dengannya pada hari kejadian di sebuah premis berhampiran Pusat Bandar, Tawau.
Suspek dipercayai menegur mangsa sebelum menawarkan pekerjaan menjual pakaian di pasar malam.
Suspek kemudian dipercayai memujuk mangsa menaiki kenderaan miliknya dengan alasan untuk membawa mangsa bertemu majikan sebelum membawanya ke sebuah lokasi penginapan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek ditahan dalam satu operasi di sebuah rumah di Kampung Ranggu, Batu 10, Jalan Apas.
Beliau berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis selepas mangsa mengalami kesakitan pada tubuh badan.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan sebelum hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa dipercayai menjadi mangsa rogol.
“Mangsa juga seorang individu OKU yang menghidap Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan membawa kepada penahanan suspek dan disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan, antaranya pakaian dan beberapa barangan lain.






