PRN N. Sembilan: Calon, jentera parti, berkempen jangan lupa pakai topi keledar – Polis

POLIS mengingatkan semua calon dan jentera parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan supaya mematuhi undang-undang termasuk memakai topi keledar ketika menunggang motosikal sepanjang tempoh berkempen.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan berkenaan.

Menurutnya, polis sudah memanggil semua wakil calon dan parti politik bagi memberi penerangan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh berkempen.

“Kita telah memberi penerangan serta peringatan kepada semua wakil parti mengenai perkara yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkempen, termasuk soal pemakaian topi keledar ketika menunggang motosikal.

“Polis bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menubuhkan beberapa kumpulan pemantau untuk memastikan segala peraturan dan arahan dipatuhi,” katanya pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.

Sementara itu, Alzafny berkata, proses penamaan calon di lapan pusat penamaan calon di negeri ini berlangsung dalam keadaan tenang dan terkawal.

Jelasnya, semua penyokong parti turut mematuhi arahan polis dan segera beredar sebaik selesai pengumuman calon.

“Hasil pemantauan mendapati jumlah penyokong di setiap pusat penamaan calon dianggarkan antara 1,000 hingga 2,500 orang.

“Pusat penamaan calon di Jempol merekodkan kehadiran penyokong paling ramai iaitu kira-kira 2,500 orang, manakala Kuala Pilah paling sedikit dengan sekitar 1,000 penyokong,” katanya.

Tambahnya, tiada laporan polis diterima berkaitan sebarang insiden tidak diingini sepanjang proses penamaan calon berlangsung.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img