POLIS berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang diculik dan menahan enam individu dipercayai terbabit dalam kejadian itu dalam tempoh kurang 48 jam.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai meminta wang tebusan RM7 juta bagi membebaskan mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.30 pagi semalam daripada isteri mangsa.
Katanya, bertindak atas maklumat diterima, anggota dan pegawai daripada Cawangan Khas Bukit Aman serta JSJ Selangor melancarkan operasi di beberapa lokasi sekitar Selangor.
“Pada jam 1 pagi hari ini, pasukan serbuan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah unit kediaman di sekitar i-City, Shah Alam, Selangor.
“Menerusi operasi sama, polis menahan enam individu terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 46 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kumar berkata, pasukan serbuan turut merampas pelbagai jenis dadah, sejumlah telefon bimbit dan beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan.
“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara minimum 30 tahun dan sehingga 40 tahun termasuk sebatan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap semua individu yang ditahan,” katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap kesemua suspek dibenarkan selama 10 hari bermula hari ini mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain, motif kejadian serta rangkaian jenayah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini,” katanya.






