PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal menjadi penentu kepada hala tuju Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.
Ketika menegaskan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini termasuk jajaran politik baharu bagi menghadapi PRN Melaka dan PRU16.
Bagaimanapun kata beliau yang juga Presiden UMNO, pihaknya akan menilai dinamik politik pada PRN Negeri Sembilan terlebih dahulu sebelum sebarang pertimbangan dibuat mengenai kerjasama yang lebih meluas pada masa akan datang.
“Kita akan lihat prestasinya di Negeri Sembilan terlebih dahulu. Oleh kerana politik ini adalah sangat dinamik,” katanya kepada pemberita selepas program Gema@KKDW 2026 peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8, Jempol.
Ahmad Zahid berkata, buat masa ini, hubungan antara kedua-dua gabungan itu hanya bertumpu pada ‘persefahaman’ pilihan raya bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri, bukannya suatu perjanjian rasmi yang mengikat
“Tentu kita belajar daripada pengalaman dan geopolitik di Johor, maka kita terima kasih kerana kepimpinan parti-parti gabungan dalam PN memahami apa yang sedang berlaku dari segi geopolitik di Negeri Sembilan ini. Mudah-mudahan ia akan menjadi (model) satu jajaran baharu,” katanya.
Ahmad Zahid turut optimis bahawa gelombang biru kejayaan BN pada PRN Johor sebelum ini mampu diterjemahkan di Negeri Sembilan berdasarkan rekod prestasi cemerlang pengurusan ekonomi semasa negeri yang ditadbir oleh BN itu sebelum ini.






