SEORANG lelaki cedera parah selepas kereta dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 10.11 malam sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari BBP Jalan Tun Razak ke lokasi.
Mangsa berusia 43 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kaki sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans APM untuk dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikerahkan bagi menjalankan operasi menyelamat yang tamat pada 11.24 malam.






