PRN Negeri Sembilan: Medan ujian kerjasama BN-PN 

KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 pada 11 Julai lalu membuktikan bahawa sesebuah parti masih mampu mencatat kemenangan besar meskipun bertanding secara solo.

 Keputusan itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan BN di Johor, malah membuka semula perbahasan mengenai sejauh mana formula kerjasama politik perlu diteruskan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Pada awalnya, ramai pemerhati politik menaruh harapan tinggi agar pertandingan satu lawan satu antara blok kerajaan dan pembangkang dapat direalisasikan. Formula itu dilihat mampu mengelakkan perpecahan undi, sekali gus meningkatkan peluang mencabar pihak lawan dengan lebih berkesan.

Namun, harapan tersebut akhirnya tidak menjadi kenyataan. Apabila tiba saat membuat keputusan, pertimbangan politik setiap parti kembali dipengaruhi kepentingan masing-masing. Akibatnya, BN memilih untuk meneruskan momentum bertanding secara solo seperti di Johor.

Bagaimanapun keputusan di Johor tidak semestinya boleh dijadikan acuan mutlak untuk Negeri Sembilan atau mana-mana negeri lain, apatah lagi untuk PRU-16 nanti. Benarlah kata pepatah, lain padang, lain belalang. Setiap negeri mempunyai landskap politik, demografi pengundi, sejarah persaingan dan budaya politik yang berbeza.

Rencana ini ditulis selepas proses penamaan calon selesai semalam sekali gus memberikan gambaran lebih jelas mengenai bentuk persaingan di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Harapan untuk menyaksikan pertandingan satu lawan satu akhirnya tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, pengundi bakal berdepan pelbagai bentuk pertandingan, termasuk pertembungan tiga penjuru dan lebih daripada tiga penjuru di beberapa kawasan. Tiga parti kecil turut mengambil kesempatan meletakkan calon masing-masing, manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) kekal mempertahankan kehadirannya.

Empat gabungan politik utama memasuki gelanggang dengan strategi berbeza. Pakatan Harapan (PH) dianggotai DAP, PKR dan PAN, manakala BN yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC mencapai persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) pada saat-saat akhir.

Melalui persefahaman itu, BN bertanding di 25 kerusi, manakala baki 11 kerusi diserahkan kepada PN yang diwakili Pas, Wawasan,  Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Dalam masa sama, Bersatu yang tidak diberikan kerusi dalam agihan PN memilih untuk bertanding secara solo di 24 kerusi. Sebahagian kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan PH, BN dan Bersatu, manakala di beberapa kawasan lain berlaku pertembungan antara PH dan Bersatu.

Walaupun kehadiran Bersatu menyebabkan pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan di beberapa kerusi, objektif utama untuk mengurangkan pertandingan banyak penjuru masih boleh dianggap sebahagiannya tercapai.

Kesediaan BN menerima persefahaman bersama PN tanpa sebarang syarat atau aku janji meletakkan amanah besar kepada semua pihak untuk menterjemahkan persefahaman tersebut kepada sokongan pengundi. Keputusan akhirnya kini terletak di tangan rakyat Negeri Sembilan.

Di pihak BN pula, kepimpinan parti boleh berlapang dada kerana kesepakatan yang dicapai berjaya mengelakkan pertembungan besar sesama parti pembangkang. Pembentukan barisan calon juga memperlihatkan usaha BN menyesuaikan strategi dengan aspirasi semasa pengundi negeri itu.

Bagi Bersatu pula, keputusan bertanding secara solo di 24 kerusi menjadi ujian sebenar terhadap kekuatan parti itu selepas tidak lagi menjadi sebahagian daripada strategi rasmi PN di Negeri Sembilan. Prestasi mereka bakal menjadi ukuran sama ada parti itu masih mempunyai pengaruh tersendiri atau sekadar menjadi faktor pemecah undi.

BN pula hanya perlu mempertahankan momentum kemenangan yang dibina di Johor. Dengan persefahaman bersama PN, BN hanya perlu mengekalkan penguasaan di 25 kerusi yang ditandinginya, manakala PN diberi ruang membuktikan kekuatannya di baki 11 kerusi.

Jika persefahaman ini diterjemahkan kepada sokongan pengundi, BN dan PN bukan sahaja berpeluang mencipta keputusan memberangsangkan di Negeri Sembilan, malah membuka ruang kepada kerjasama yang lebih tersusun menjelang PRU-16.

Sebaliknya, jika persefahaman itu gagal menghasilkan keputusan positif, ia mungkin menjadi petunjuk bahawa kerjasama tersebut memerlukan penilaian semula sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bagi PH pula, keputusan untuk tidak bersama dalam formula satu lawan satu menyebabkan mereka berdepan risiko perpecahan undi di beberapa kawasan. Sekiranya keputusan tidak memihak kepada mereka, sudah tentu pelbagai persoalan akan timbul mengenai strategi yang dipilih.

Apa pun keputusannya nanti, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar menentukan siapa yang bakal membentuk kerajaan negeri. Lebih besar daripada itu, ia menjadi medan ujian kepada keberkesanan strategi kerjasama politik, tahap kesetiaan penyokong terhadap arahan parti, serta penerimaan rakyat terhadap budaya politik baharu yang lebih pragmatik.

Akhirnya, politik sentiasa mengajar bahawa tiada satu formula yang sesuai untuk semua keadaan. Kemenangan di satu negeri tidak semestinya menjamin kejayaan di negeri lain. Yang menentukan segala-galanya ialah kebijaksanaan membaca sentimen rakyat, keikhlasan dalam membina kerjasama dan kemampuan menterjemahkan persefahaman kepada sokongan di peti undi.

Dalam politik, setiap negeri mempunyai cerita dan percaturannya yang tersendiri.

*Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img