POLIS menahan 12 lelaki tempatan berusia antara 15 hingga 38 tahun selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di sebuah restoran di Taman Daya, Johor Bharu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.40 pagi.
Menurutnya, susulan maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menjalankan operasi antara jam 10 hingga 11 pagi sebelum berjaya menahan semua suspek di sekitar Taman Setia Indah.
“Pada hari sama, polis turut mengesan satu video tular dimuat naik di Facebook yang memaparkan kejadian pergaduhan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ab Rahaman berkata, semakan rekod mendapati tiga daripada 12 suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru, hari ini, bagi membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, motif atau punca kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Sebelum itu, tular video berdurasi 38 saat memaparkan insiden pergaduhan berkenaan yang dipercayai berlaku ketika sekumpulan individu menonton Piala Dunia 2026.






