MAHKAMAH Sesyen Pasir Mas hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan tujuh sebatan ke atas seorang mekanik yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan merogol dan merompak remaja perempuan berusia 15 tahun di Tumpat, pada pertengahan bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Faryzuan Aiman Mat Yatim, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol remaja itu dan mencederakan mangsa di kawasan semak di Kampung Mesra, Palekbang di Tumpat pada jam 7.40 pagi, 17 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merompak telefon bimbit jenis Vivo Y19 milik mangsa yang sama dan ketika rompakan berkenaan, tertuduh bersenjatakan sebatang kayu.
Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyha Nai’lah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aisyha Nai’lah memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam bagi mengelak kejadian sama berulang.
Katanya, kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan kejam kerana merogol serta merompak sehingga menimbulkan ketakutan serta trauma kepada mangsa.
“Kecederaan dialami mangsa juga serius dan parah selain mengalami trauma teruk. Mangsa tiada hubungan langsung dengan tertuduh selain berpakaian sopan muslimah ketika beriadah pada hari kejadian,” katanya.
Muhammad Faryzuan Aiman pula memohon hukuman minimum dikenakan selain memaklumkan mempunyai isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan merogol manakala hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan merompak.
Hukuman penjara itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 7 Julai lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh penjara selain berada dalam pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat hukuman.
Media sebelum ini melaporkan aktiviti seorang remaja perempuan beriadah bertukar tragedi apabila disamun dan dirogol seorang lelaki tidak dikenali di Kampung Mesra, Palekbang.
Mangsa berusia 15 tahun ditemukan dalam keadaan cedera berhampiran kawasan semak oleh orang awam pada jam 11 pagi sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.






