SEORANG kelindan lori mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas pertuduhan mencederakan rakannya menggunakan paip Polivinil Klorida (PVC) kerana didakwa mengganggu rumah tangganya.
Tertuduh, Mohamad Ariff Muhamad Nasir, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa mencederakan seorang lelaki berusia 38 tahun dalam kejadian di hadapan rumahnya di Sri Medan, di sini, kira-kira jam 10.30 malam, 11 Julai lalu.
Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Izzaidi Sapian.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi sebutan fakta dan hukuman.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan semula serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500.
Berdasarkan laporan, pada hari kejadian mangsa didatangi tertuduh bersama dua rakannya sebelum dipukul di bahagian muka dan belakang badan.
Tertuduh kemudian menarik mangsa masuk ke dalam keretanya sebelum membawanya ke rumah dan memukulnya menggunakan paip.
Selain itu, tertuduh turut menyuruh mangsa menanggalkan pakaian sebelum mengarahkannya masuk ke dalam but kereta.
Mangsa kemudian ditinggalkan di sebuah kedai makan di Yong Peng sebelum menghubungi kakaknya untuk menjemputnya pulang.






