SEORANG pegawai Jabatan Imigresen Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tujuh pertuduhan menerima rasuah secara bulanan berjumlah RM1,950 daripada pengusaha restoran bagi melindungi pekerja asing tanpa permit, tahun lalu.
Mohd Nazrul Md Yasin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, tertuduh sebagai Pegawai Imigresen Melaka didakwa menerima suapan wang tunai antara RM150 hingga RM300 daripada seorang pengusaha restoran berusia 69 tahun.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang wanita berusia 23 tahun yang juga anak pengusaha restoran terbabit kerana melindungi pekerja warga Indonesia, Kusmiyati, yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di premis berkenaan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Nurul, Jalan Muar, Merlimau, Jasin antara 1 Januari hingga 10 Julai 2025, kira-kira jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang, lapor Berita Harian.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan selain syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, wajib melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum dengan alasan hanya mempunyai RM5,000 hasil pinjaman, selain sudah digantung kerja, merupakan penanggung tunggal keluarga dan perlu menjaga ibu serta empat anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin tempatan berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Ogos ini bagi lantikan peguam.






