Lelaki ditahan ceroboh landasan LRT Shah Alam

SEORANG lelaki ditahan selepas dikesan menceroboh landasan di stesen Jalan Meru, Klang sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan sistem transit aliran ringan (LRT) Laluan Shah Alam selama 30 minit.

Rapid KL berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu memaksa perkhidmatan tren antara stesen Jalan Meru dan Jambatan Kota dihentikan selama 30 minit bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan serta memastikan landasan selamat untuk tren beroperasi semula.

“Petugas operasi bersama anggota polis bantuan bertindak pantas mengesan dan menahan suspek.

“Suspek diserahkan kepada polis dan dibawa ke Balai Polis Bandar Baru Klang untuk tindakan lanjut,” kata Rapid KL dalam kenyataan hari ini.

Pengendali kereta api itu berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan polis.

Rapid KL turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan mengingatkan orang ramai bahawa tindakan menceroboh landasan kereta api melanggar undang-undang dan boleh mengundang risiko keselamatan serius.

“Penumpang disaran sentiasa peka terhadap persekitaran dan segera memaklumkan petugas stesen atau anggota polis bantuan sekiranya mengesan sebarang perlakuan mencurigakan.”

Satu video tular dalam media sosial menunjukkan seorang lelaki menolak kakitangan stesen yang cuba menghalangnya sebelum menaiki tren LRT. Kapsyen yang disertakan mendakwa lelaki itu terlebih dahulu berlari ke landasan sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img