‘’Manifesto BN lebih baik daripada diumum parti lain’’ – Zahid

BARISAN Nasional (BN) akan mengumumkan  manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan  yang lebih baik daripada diumumkan oleh parti-parti lain, kata Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun Pengerusi BN itu  tidak mengulas  secara terperinci tetapi menyatakan parti itu menawarkan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan di negeri itu.

“Insya-Allah dalam minggu ini juga akan dikeluarkan dan ia lebih baiklah daripada yang ‘orang’ dah keluarkan dulu,” katanya kepada media di Seremban selepas Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sasaran menyediakan peluang pekerjaan berkenaan diyakini mampu direalisasikan berikutan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang semakin meningkat ke negeri ini, khususnya menerusi pembangunan kawasan perindustrian baharu.

“Saya yakin ia boleh dilaksanakan kerana kawasan industri baharu, terutamanya pelaburan langsung asing (FDI), banyak masuk di Negeri Sembilan.

“Saya sendiri telah mengusahakannya, umpamanya untuk industri halal iaitu kira-kira 2,000 ekar yang telah dibayar deposit untuk dibangunkan. Saya berhasrat menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah hab pengeluaran produk-produk halal,” katanya.

Beliau berkata, pelabur dari luar negara turut dibawa masuk bagi mengeluarkan produk halal bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.

“Pasaran domestik kita agak kecil, tetapi pasaran di luar negara besar. Saya telah mengadakan perbincangan dengan pihak pelabur luar dan pihak pembeli produk-produk kita, terutama dari segi vaksin, perubatan serta bahan ramuan untuk perubatan dan kosmetik.

“Pelabur-pelabur itu telah ada dan sekarang ini kerja-kerja tanah akan dimulakan tetapi sebab tersangkut kerana ada ‘tokoh-tokoh’ yang menguruskan perkara itu sibuk sedikit sekarang ini, jadi agak lewat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, jika  BN dapat membentuk kerajaan di Negeri Sembilan, parti itu berhasrat menjadikan negeri berkenaan sebagai kawasan perindustrian baharu dengan menarik lebih banyak pelaburan asing bagi meningkatkan hasil negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Beliau berkata, ia mampu dilaksanakan kerana Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adalah daripada BN, sekali gus membolehkan pelabur baharu ditempatkan di Negeri Sembilan yang mempunyai banyak kawasan perindustrian berpotensi untuk dibangunkan.

“Apabila Belanjawan 2027 dibentangkan pada Oktober nanti yang mengambil kira perbelanjaan pembangunan di mana di banyak kementerian yang menerima peruntukan pembangunan terbesar ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Ini mungkin boleh membantu Negeri Sembilan dan juga negeri-negeri lain. Bukan kita mahu menganaktirikan negeri lain, tetapi ini boleh dirancangkan untuk diberikan di Negeri Sembilan,”katanya.

Beliau berkata, KKDW juga mempunyai pelbagai program bagi melahirkan lebih ramai usahawan menerusi agensi di bawah kementerian itu seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kemas.

Katanya, perancangan tersebut akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya Negeri Sembilan ditadbir oleh kerajaan baharu.

“Ini bukan sekadar janji pilihan raya, tetapi memang perancangan yang telah ada dan saya harap Negeri Sembilan sekurang-kurangnya purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sama dengan KDNK kebangsaan, malah lebih baik jika mampu,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img