SEORANG warga emas dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah saudaranya di Kampung Baru Neram 1, Cheneh, dekat Kemaman, untuk bersarapan, Ahad lalu.
Mangsa, Abdullah Besar, 70, kali terakhir dilihat kira-kira jam 7 pagi sebelum dipercayai menghilangkan diri.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, Che Ahmad Taqiyuddin Che Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan daripada polis berhubung kehilangan mangsa kira-kira jam 6.40 petang, kelmarin.
Menurutnya, susulan laporan itu, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian dan Pos Kawalan Bomba (PKB) dibuka bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat.
“Tindakan awal pencarian dilakukan di kawasan ladang kelapa sawit yang dipercayai menjadi lokasi mangsa hilang.
“Ketika kali terakhir dilihat, mangsa memakai baju belang biru putih, seluar slack hitam serta memakai dua bentuk cincin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pencarian hari ini dijalankan menggunakan teknik Hasty Search dengan radius pencarian diperluaskan sehingga lima kilometer dari rumah mangsa.
Katanya, pasukan penyelamat turut memberi tumpuan di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa diminta menghubungi warisnya, Fazani, di talian 016-317 4541 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.






