PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu seluruh warga Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh integriti serta menolak sebarang bentuk penyelewengan dan rasuah.
Dalam hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Imigresen hari ini, beliau berkata selain integriti, warga JIM juga perlu sentiasa mengangkat nilai ihsan dalam memberikan perkhidmatan yang cekap, berhemah dan berwibawa.

Anwar juga berharap warga JIM terus cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memelihara kedaulatan negara.
“Selamat Hari Imigresen kepada seluruh warga Jabatan Imigresen Malaysia. Semoga terus cemerlang dalam memelihara kedaulatan negara, berbakti kepada rakyat dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia,” kata Perdana Menteri dalam hantaran itu.
Tema sambutan Hari Imigresen 2026 adalah Melakar Wajah Baharu Imigresen.






