Tangani amalan Ali Baba: Kerajaan kaji perinci undang-undang

KERAJAAN sedang memperincikan cadangan kerangka perundangan bagi membendung amalan ‘rent-seeking’ atau konsep ‘Ali Baba’, termasuk menilai keperluan penggubalan undang-undang baharu atau menambah baik peruntukan sedia ada.

Kementerian Ekonomi dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah berkenaan selari dengan usaha Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) untuk memperkukuh tindakan menangani aktiviti perniagaan tidak sah melibatkan warga asing serta mempercepat reformasi peraturan.

Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan bertujuan mewujudkan ekosistem perniagaan yang adil, telus dan berdaya saing.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat PEMUDAH Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Ameer Ali Mydin.

Menurut kementerian itu, mesyuarat berkenaan turut meneliti isu penyalahgunaan pas imigresen atau visa, penggunaan proksi, penyewaan lesen serta amalan ‘rent-seeking’ oleh warga asing yang disifatkan menjejaskan persaingan adil dan kelangsungan peniaga tempatan.

“Mesyuarat bersetuju dengan strategi intervensi berasaskan pendekatan pematuhan, pemantauan dan pemerkasaan (3P), merangkumi pengukuhan pematuhan vendor, perkongsian data dan penguatkuasaan bersepadu antara agensi, pemantauan berasaskan risiko dan usaha peningkatan keupayaan industri untuk mengenal pasti dan melaporkan ketidakpatuhan.

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama agensi kerajaan berkaitan akan memperincikan dan menyelaras tindakan susulan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, mesyuarat turut mengambil maklum peningkatan kedudukan Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking (WCR) 2026 apabila negara naik ke tangga ke-15 berbanding tangga ke-23 pada 2025.

Menurut kenyataan itu lagi, penarafan berkenaan membabitkan 70 ekonomi dan menilai prestasi berdasarkan empat faktor utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan serta infrastruktur.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img