Kerajaan semak mekanisme subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan

KERAJAAN Persekutuan sedang berbincang dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi menambah baik mekanisme subsidi diesel bersasar susulan kebimbangan terhadap pelaksanaannya di kedua-dua negeri itu serta Labuan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kementerian Kewangan (MoF) mengetuai proses libat urus tersebut kerana bertanggungjawab merangka dasar subsidi bahan api negara.

Menurut beliau, beberapa isu timbul selepas mekanisme subsidi bersasar yang mula diperkenalkan di Semenanjung pada 2024 diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Kerajaan Persekutuan bersedia menambah baik pelaksanaannya dengan kerjasama kerajaan negeri, yang lebih memahami realiti serta keperluan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya, lapor Daily Express.

Armizan mengulas cadangan supaya mekanisme subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dikaji semula serta ditambah baik.

Beliau berkata, MoF mengadakan sesi pertemuan dengan agensi kerajaan di Sabah dan Sarawak bagi mengenal pasti cabaran pelaksanaan serta merangka penyelesaian yang lebih sesuai dengan keadaan setempat.

Katanya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican turut akan mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat bagi mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai masalah yang dihadapi di kawasan masing-masing.

Armizan berkata, agensi kerajaan negeri juga boleh membantu pihak berkuasa Persekutuan dalam proses pendaftaran dan pengesahan penerima yang layak, khususnya di kawasan yang sukar diakses oleh agensi persekutuan.

“Apabila proses pengumpulan dan pengesahan data dapat dilaksanakan dengan berkesan, saya yakin Kerajaan Persekutuan bersedia menambah baik mekanisme ini supaya subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukannya,” katanya.

Beliau berkata, sebarang semakan terhadap mekanisme itu perlu mengambil kira kos sara hidup, usaha membendung ketirisan subsidi serta kedudukan fiskal kerajaan.

Menurutnya, subsidi secara menyeluruh tidak lagi sesuai, sebaliknya bantuan perlu disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Bantuan kepada golongan kurang berkemampuan tidak boleh dikompromi. Kerajaan mesti terus membantu mereka bagi meringankan beban kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Minggu lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pentadbirannya sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan serta agensi Persekutuan berkaitan mengenai pelaksanaan program subsidi diesel bersasar.

Inisiatif BUDI Diesel dilaksanakan di seluruh negara pada 1 Julai, dengan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak menerima kuota asas 200 liter sebulan pada harga subsidi RM2.10 seliter.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img