
PRESIDEN Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu kerjasama yang dibentuk antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).
Beliau berkata, gelaran itu diperkenalkan bagi memudahkan rakyat memahami persefahaman kedua-dua gabungan, selain mengelak kekeliruan apabila menyebut PN dan BN secara berasingan.
“Kita namakan ini supaya orang tidak keliru lagi. Di Negeri Sembilan ini kita mulakan dengan Perikatan Barisan Nasional kerana ramai orang sebut PN, BN, PN, BN.
“Saya kata, okaylah PBN. Yang penting bukan nama, tetapi jiwa untuk kita bersama menentukan masa depan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah Gelombang Biru dan Majlis Memperkenalkan Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Repah dan Gemencheh di Felda Bukit Rokan, di Tampin malam tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Tampin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Isa.
Hamzah berkata, PN bersetuju sejak awal untuk memberi laluan kepada BN menerajui pentadbiran negeri sekiranya membentuk kerajaan.
“Di Negeri Sembilan, PN bersetuju dari awal lagi untuk BN menerajuinya bersama kami, sebab itu tidak ada masalah kalau kita boleh bermuafakat,” katanya.
Katanya, persefahaman itu juga berupaya meredakan perbezaan pernah berlaku antara kedua-dua gabungan.
“Memang manusia ada perasaan kecewa terhadap perkara yang berlaku dahulu tetapi semua itu boleh diselesaikan apabila kita duduk berbincang.
“Itu sebabnya kita bertemu lebih awal supaya selepas ini semua boleh turun bekerja kuat dan memastikan pengundi faham apa yang mahu kita lakukan demi masa depan Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas kemungkinan PBN didaftarkan secara rasmi, Hamzah berkata perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.
“Ini baru saya keluarkan malam ini. Saya akan berjumpa rakan-rakan dahulu dan kita tengok macam mana,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan semua parti komponen PN akan mematuhi arahan supaya membantu kemenangan calon BN pada PRN Negeri Sembilan.
“Saya mewakili kepimpinan PN mengarahkan semua ahli parti dan penyokong melihat agenda yang lebih besar iaitu mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan. Kalau itu boleh kita lakukan, tidak ada masalah,” katanya.






