SEORANG mekanik warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas tuduhan mengedar hampir 75 kilogram syabu di kawasan tempat letak kenderaan di Jalan Tun Hamdan, Tawau pada minggu lalu.
Tertuduh, Sopian Mustafa, 40, mengaku faham terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor BH.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Sopian didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 74,866 gram pada jam 10.30 malam 12 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Pegawai Pendakwa Nur Intan Jamrin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Prem Elmer.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes.






