Suspek ugut bunuh, kurung isteri, anak 7 jam diperintah jalani pemeriksaan mental

SEORANG lelaki yang bertindak mengurung isteri dan anaknya selama tujuh jam selain mengugut untuk membunuh mereka minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas dua pertuduhan termasuk ugutan bunuh.

Tertuduh, Salleh Abdul, 38, didakwa bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana secara salah mengurung isteri dan anak perempuannya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dengan kata-kata ancaman.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pekerja ladang di Kalabakan, Tawau sekitar jam 7 malam pada 23 April lalu.

Bapa kepada empat anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pertama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan kata-kata “siapa masuk sini, saya kasi cincang mereka“, namun mahkamah belum menjatuhkan hukuman.

Majistret Don Stiwin Malanjum kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pertuduhan pertama dengan jaminan RM2,500.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan mental.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian 23 April lalu, tertuduh dilaporkan mengamuk sambil mengurung isterinya bersama tiga anak dalam rumah di kawasan ladang berkenaan sebelum mengugut untuk membunuh mereka.

Polis mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memujuk suspek yang dipercayai di bawah pengaruh dadah sebelum menyerbu dan menahannya menggunakan taser gun.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img