SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan berkaitan cubaan menyeludup tembakau menggunakan dron ke Penjara Sungai Udang di Melaka pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Nizam Ab Manaf, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, dia yang merupakan penjual keropok didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan niat untuk menyeludup masuk barang terlarang iaitu tembakau ke dalam kawasan penjara dengan menggunakan dron di Taman Kris Satria, Sungai Udang pada jam 1.20 pagi 15 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Nizam didakwa menyeludup tembakau ke dalam penjara itu dengan menggunakan dron di tempat, masa serta tarikh yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 58 Akta Penjara 1995 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya berpendapatan RM1,700 sebulan dan menyara keluarga.
Majistret membenarkan jaminan RM7,000 bagi dua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 Ogos depan.
Memetik laporan media, tindakan sepasang suami isteri yang cuba menyeludup kira-kira satu kilogram tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron gagal apabila ia dikesan dan berjaya dipintas sistem keselamatan penjara.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, dron jenis Air 2S dipercayai diterbangkan dari kawasan perumahan berhampiran sebelum memasuki ruang udara penjara dan berlegar-legar di atas bangunan bengkel kulinari bagi meninjau lokasi sesuai untuk menjatuhkan bungkusan tembakau dipercayai untuk seorang banduan.






