
PELAKSANAAN projek pelebaran dan pendalaman beberapa batang sungai secara timbal balik membuktikan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mampu memastikan hasil pembangunan dan sumber negeri dikembalikan kepada rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata menerusi projek pelebaran dan pendalaman sungai di kawasan Ampangan di sini misalnya yang dibuat secara timbal balik oleh Kerajaan Negeri Sembilan, ia bukan sahaja membantu dalam menangani isu banjir, malah memastikan sumber berkaitan diurus secara telus untuk manfaat masyarakat.
Anwar berkata menerusi pendekatan itu, hasil pengorekan pasir akan digunakan semula bagi membiayai kerja-kerja penyelenggaraan dan infrastruktur kawasan sungai berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Santai Petang Bersama Warga Ampangan di Benteng @ Medan Selera Ampangan, di Seremban, hari ini yang turut dihadiri calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan Muhammad Nazri Kassim,lapor Bernama.
Pengerusi PH itu berada di Negeri Sembilan untuk menghadiri beberapa siri kempen PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Sementara itu, Anwar berkata pentadbiran yang berintegriti perlu terus menjadi asas kepada pembangunan negeri dan negara, serta menegaskan setiap projek perlu dilaksanakan dengan mengutamakan kepentingan rakyat.
Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman ketika terlibat dalam rundingan pembangunan sebuah projek hotel di Port Dickson, yang menurut beliau turut mengambil kira kebajikan komuniti nelayan setempat, termasuk aspek pendidikan dan penambahbaikan kediaman mereka.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya membuat pilihan yang bijak pada PRN Negeri Sembilan dengan terus memberi mandat kepada PH untuk menerajui kerajaan negeri.
“Kita pilih orang yang ada amanah. Ada ramai orang Melayu yang baik, ramai orang India yang baik dan ramai orang Cina yang baik, yang ada maruah. Pilih mereka, Insya-Allah masa depan kita lebih selamat,” kata beliau.
Pada PRN kali ini, PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN yang menyaksikan seramai 16 calon daripada PKR, 11 calon mewakili DAP manakala Amanah, sembilan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian PRN Negeri Sembilan, manakala undi awal pada 28 Julai.






