Felda mohon pertambahan pegawai CEIO bagi memperkasa tadbir urus, integriti – SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik hasrat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang memohon penambahan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) daripada suruhanjaya itu bagi memperkasa tadbir urus dan integriti organisasi berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, permohonan itu membuktikan keyakinan dan kepercayaan berterusan pelbagai pihak terhadap peranan SPRM dalam membanteras jenayah rasuah di negara ini.

DATUK Seri Abd Halim Aman dan Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman bersama pengurusan tertinggi SPRM dan Felda di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini. GAMBAR: SPRM

“Dalam pertemuan antara SPRM dan Felda hari ini, kedua-dua pihak turut mengadakan perbincangan bagi mengadakan kerjasama strategik selain bertukar pandangan bagi memantapkan lagi organisasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada pengurusan tertinggi Felda yang diketuai Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Investment Corporation Sdn Bhd, Syed Fadil Syed Sofi; Pengarah Jabatan Integriti Felda, Mohd Anuar Ismail dan Lembaga Pengarah FGV, Nurul Muhaniza Hanafi.

Sementara itu, Suzana Idayu Wati berkata, kunjungan hormat ini bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama yang lebih kukuh, mampan dan berimpak tinggi demi menyokong agenda pencegahan rasuah negara.

Beliau berkata, pembudayaan integriti, tadbir urus baik serta akauntabiliti kekal menjadi keutamaan kepimpinan Felda bagi memastikan organisasi itu terus diyakini oleh kerajaan, peneroka dan pemegang taruh.

“Sejajar dengan komitmen tersebut, Felda melaksanakan polisi Zero Tolerance Towards Corruption sebagai pendirian tegas bahawa tiada sebarang kompromi terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa, mahupun penyelewengan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img