SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terus komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha memperkasakan tadbir urus, integriti dan pencegahan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, sinergi antara kedua-dua organisasi penting bagi memastikan amalan tadbir urus yang telus dan berintegriti terus diperkasakan.
“Dalam pertemuan antara SPRM dan Petronas, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai perkara termasuk memperkasakan usaha meningkatkan kesedaran mengenai integriti dan antirasuah dalam kalangan warga kerja Petronas.
“Selain itu, SPRM dan Petronas turut berbincang untuk sama-sama memperkukuh mekanisme kawalan dalaman bagi mengurangkan risiko salah laku serta memastikan amalan tadbir urus lebih berkesan,” kata beliau.
Abd Halim berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Naib Presiden Kanan, Bahagian Perundangan Kumpulan dan Ketua Penasihat Undang-Undang Kumpulan Petronas, Razman Hashim dan Ketua Unit Integriti Petronas, Mohamad Faizal Sadri.
Sementara itu, Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas turut memberi penekanan terhadap amalan kebebasan melapor bagi menggalakkan warga kerjanya tampil melaporkan sebarang bentuk salah laku atau rasuah, selaras dengan komitmen syarikat untuk mengekalkan tadbir urus korporat yang tinggi.






